Untuk pertama kalinya selepas dua mini artikel dalam blog ini yang saya coretkan, kini 'bahasa kebangsaan' pula saya guna sebagai ganti alat komunikasi. Almaklumlah, nanti kita dikategorikan sebagai tidak patriotik seperti yang dilemparkan kepada rakyat Malaysia yang memakai baju merah sebagai tanda sokongan kepada Liverpool yang menentang HARIMAU MALAYA pada 16 Julai baru-baru ini di Stadium Bukit Jalil. Namun apa yang saya ingin lakarkan disini adalah bukan strategi bolasepak HARIMAU MALAYA menentang Liverpool tapi sejarah tanah air mahupun sentimen yang masih wujud selepas 54 tahun Tanah Melayu merdeka dan 48 tahun Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Persekutuan Malaysia.
Saya bukanlah seorang yang pakar dalam ilmu 'back dated' (sejarah) walaupun semasa menuntut di universiti dulu memang banyak belajar mengenai sejarah, namun apa yang saya cuba sampaikan disini adalah realiti, bukan fantasi yang dibuat-buat umpama kartun Melayu berjudul Boboi Boy yang mempunyai kuasa halilintar dan sebagainya. Agak berat juga jari-jemari ini untuk menaip apa yang terbuku di hati, namun apakan daya, umpama 'jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya..' jadi jika sudah pecah ruyungnya, mari kita berkongsi pula sagunya..silakan..silakan...
Ok anak-anak, sambil kita makan sagu atau dalam 'bahasa kebangsaan' kita adalah ambuyat, mari kita bercerita tentang bahasa kita. Sebenarnya bahasa kita ini dipanggil bahasa apa?
Saya masih hairan, adakah bahasa Melayu yang dikatakan sebagai bahasa jiwa bangsa? Tidak salah mempertikaikan jika ia bertujuan baik. Kasihan anak-anak kita di sekolah yang umumnya berbahasa Melayu tapi masih ada yang gagal dalam subjek ini lebih-lebih lagi anak Melayu tulen..ish..ish..ish..Kategorinya juga pandai bertukar-tukar, sekejap bahasa baku, sekejap bahasa Melayu, sekejap bahasa Malaysia dan yang terkini bahasa kebangsaan. Bila ada orang kita yang 'berskiping english', nah mulalah mulut mencuih, tidak pun bibir 'biut' kata Melayu Brunei. Sedar atau tidak, mana bahasa Melayu tulen kita? yang kononnya diagung-agungkan sebagai bahasa jiwa bangsa ini? Sedangkan masih ada bahasa-bahasa Melayu yang berbeza-beza dikalangan bangsa Melayu itu sendiri..Jangan marah, saya ada buktinya. Nah, mari kita terbang ke Kelantan sekejap, andaikata anda orang Johor dan melancong ke Kelantan, adakah anda mampu berkecek Kelate dengan 'oghe kelate nun?'. Pendek kata, agak susah untuk kita terjumpa bahasa Melayu yang benar-benar asli di Semenanjung Tanah Melayu. Kenapa? Cuba perhatikan betul-betul dari utara hingga ke selatan, mana negeri yang betul-betul Melayu nya asli? :)
Benar, salah satu tandanya sifat patriotik itu adalah dari bahasanya. Tapi janganlah kita lalu hingga tak pandang dengan lingua franca dunia hari ini. Sehingga dikatakan pengkhianat bangsa jika belajar bahasa Inggeris.Taksub sungguh ya..Cuba kita lihat ejaan bahasa Melayu hari ini yang diubahsuai, nya menjadi 'nyer', tiada menjadi 'takde' dan macam-macam lagi lah. Tapi bila bangsa lain yang berkata demikian, bangkitlah pula para hulubalang-hulubalang Melayu ni yang menuduh bangsa ini dan itu mempersendakan bahasa Melayu sedangkan bangsa mereka sendiri yang mengotori bahasa sendiri tidak pula mereka sedari. Itu belum lagi bahasa Indonesia yang 'diMalaysiakan'..hehehe
Mari kita lihat pula konteks, Sabah dan Sarawak. Adakah bahasa Melayu ini menjadi bahasa rasmi ataupun bahasa pertuturan di kedua negeri ini? TIDAK. Kenapa? Mari kita lihat sejarahnya. Sabah tidak mempunyai bangsa Melayu pun kecuali Melayu-Brunei yang minoriti. Bila ia menjadi minoriti, adakah bahasa Melayu-Brunei itu digunapakai oleh semua orang? TIDAK. Bagaimana pula dengan Sarawak? Ya, Sarawak ada bangsa Melayu, tapi adakah bahasa Melayu Sarawak itu sama dengan bahasa Melayu semenanjung? TIDAK. Jangan marah :) ini fakta. Walaupun terdapat sedikit persamaan tapi tidak semua perkataan boleh digunakan apatah lagi ejaan dan pertuturan. Sabah dan Sarawak punya hak untuk menentukan hala tuju, tapi nampaknya hala tuju itu terhakis sedikit demi sedikit atas dasar nasionalisasi. Buktinya? nah, mari kita lihat Perkara 2 dalam Tuntutan 20 Perkara untuk Sabah dan 18 untuk Sarawak yang menyatakan 'Malay should be the national language for federation. English should be an official language of North Borneo (Sabah) for all purposes, State or Federal, without limitation of time.' Itulah buktinya, kalau bukan kerana dasar nasionalisasi, sudah maju bahasa orang-orang Sabah dan Sarawak yang mereka gelarkan orang hutan ini. Jadi, siapa pula yang bertanggungjawab menukar bahasa Inggeris di Sabah dan Sarawak? yang kononnya untuk menyatukan rakyat sedangkan mereka sendiri mengotori bahasa mereka sendiri. Bila kita berkomunikasi dengan mereka, diketawakan pula kita sedangkan sebutan (pronounce) kita ini memang asli seperti dalam perkataan yang ditulis. Tidak pernah kita menghukum bahasa yang kita tuturkan melainkan ada juga manusia-manusia tidak tahu membaca yang mana perkataan 'saya' ditukarkan pula kepada 'saye'. Syabas! :)
Sememangnya pada waktu sebelum penggabungan dan awal penggabungan Sabah dan Sarawak dengan Tanah Melayu, orang-orang Borneo ini fasih berbahasa Inggeris. Apatah tidak, sekolah rendah mahupun menengah pada waktu itu berbahasakan Inggeris. Kenapa Inggeris? maklumlah, suku kaum di kedua-dua negeri ini terlalu banyak, jadi bahasa kebangsaan tidak wujud. Kiranya adil digunakan untuk semua kaum. Jika diteruskan, maka tidak mustahil 'orang hutan Borneo' ini fasih berbahasa Inggeris sehingga kini. Bukan macam hari ini, ada sesetengah pihak berkata, guna bahasa Inggeris boleh jadi murtad. Lihatlah apa yang jadi kepada anak bangsa, ramai yang ada ijazah tapi bila terjumpa pelancong tepi jalan pandai pula melencong takut terserempak atau ditanya arah jalan. Kerana itu juga, graduan-graduan Melayu paling banyak dalam statistik yang belum punya pekerjaan sehingga kini? Kenapa? Kerana bila ditemu duga dalam bahasa Inggeris, terkebil-kebil, tersipu-sipu..tidak tahu mahu jawab macamana. Kenapa? Kerana Bahasa Jiwa Bangsa :)
Inilah 50% negara Malaysia. Yang disebut Sabah dan Sarawak tapi jarang pula disebut 'Malaysia Timur'.
Hak yang semakin hilang adalah sistem pendidikan Sabah dan Sarawak seperti yang tercatat dalam Perkara 15 Tuntutan Sabah dan Sarawak iaitu 'The existing educational system of North Borneo should be maintained and for this reason it should be UNDER STATE CONTROL' dan pada hari ini siapa yang menentukan? Kerajaan Persekutuan atau Negeri? ini adalah semua dasar nasionalisasi. Ada juga baiknya jika ia ditentukan oleh kerajaan Persekutuan tapi janganlah sampai menidakkan hak ataupun kemahuan kita :( Kenapa saya katakan demikian, lihatlah subjek sejarah. Banyak versi yang hilang. Sungguh menyedihkan. Ingin dipanjang lebar pun tidak ada gunanya. Tunggulah bila bom jangka sudah hampir waktu detiknya. Kita lihat, apa yang terjadi.
Sabah bergabung dengan Malaysia 16 September 1963. Haruskah Sabah dan Sarawak menyambut Hari Kebangsaan 31 Ogos setiap tahun sedangkan hari itu adalah hanya untuk Tanah Melayu? Namun atas dasar kesamarataan yang kita korbankan, kita 'layan' hari merdeka Tanah Melayu.
Ini yang paling penting, bila istilah dimanipulasikan. Istilah apa itu ya? istilah Sabah dan Sarawak masuk Malaysia. Maafkan saya, rakyat Sabah dan Sarawak tidak pernah menyatakan hasrat ingin 'masuk' Malaysia. sehinggalah Suruhanjaya Cobbold datang ke Sabah dan Sarawak pada tahun 1962 yang diketuai oleh Lord Cameron Cobbold. Istilah ini dimomok kan kepada generasi muda sehingga saya geram bila mendengar, 'rupanya Sabah dan Sarawak masuk Malaysia...' Gggggrr...tidak pernah kita ingin masuk Malaysia tapi dijemput oleh Tunku Abdul Rahman ketika beliau minum petang di sebuah hotel di Singapura. Istilah 'masuk' dan 'menyertai' ini perlu diperbetulkan. Bukan MASUK tapi BERGABUNG untuk membentuk satu persekutuan yang dipanggil Malaysia. Tapi selepas bergabung, apa yang Sabah dan Sarawak dapat? Adakah pembangunan seimbang? sama seperti di Tanah Melayu? Bagaimana pula dengan nisbah 5%-95%?
Inilah hakikatnya. Tapi tidak ramai yang tahu.
Baru-baru ini rakyat Sabah dan Sarawak terguris lagi tapi tidaklah terluka. Kerana apa? kerana istilah bolasepak negara yang digelar-gelar 'Harimau Malaya'. Sabah dan Sarawak tidak ada harimau? Jangankan harimau, sebut saja binatang apa. Harimau pendek tidak ada belang dan bertaring lagi kita ada. Jangan main-main. Bukannya apa, terdengar juga suara-suara dari Malaysia Timur yang mencadangkan agar ditukar istilah itu kepada 'Harimau Malaysia' kerana terasa sungguh orang-orang Malaysia yang tinggal di Malaysia Timur dengan gelaran sebegitu. Sudahlah dalam skuad kebangsaan wakil negeri-negeri Malaysia Timur tidak terpilih, namun itu boleh lagi dipertimbangkan kerana mungkin mereka tidak punya kriteria seperti yang Datuk Rajagobal inginkan tapi nama skuad itu tambah mengguriskan lagi hati yang sudah sekian lama terguris ini.
Bila kedengaran cadangan sebegitu, orang-orang Malaya ini bangkit mengatakan bahawa gelaran itu sudah sekian lama semenjak zaman Super Mokh lagi (Mokhtar Dahari). Nah, ini kah dasar nasionalisasi yang dilaungkan oleh mereka? Hak kita mereka rampas, sekarang kita pula ditolak mentah-mentah? Kalau 48 tahun dulu mereka sanggup menukar nama dari Tanah MELAYU kepada Malaysia yang melibatkan urusan negara yang bukan calang-calang, kenapa tidak untuk menukar nama skuad bola sepak kepada 'Malaysia' sekali lagi? Mana dasar nasionalisasi? Kalau 'Harimau Malaya' itu tidak ditukar, maka skuad itu hanya milik mereka sampai bila-bila dan Sabah dan Sarawak ini bukan sebahagian Malaysia lagi. Kasihan...
Malaya ja ada harimau, Borneo tidak ada, yang kita ada hanya Badak dan Bujang Senang ja :(
Dengan sedikit pengetahuan ini, bolehlah kita berkongsi sedikit ilmu. Adakalanya kebenaran itu pahit tapi adakalanya sangat manis. Berkata buruk tidak semestinya menentang tapi hanya untuk membuka mata yang hampir lena ditiup bayu sepoi-sepoi Laut China Selatan. Tidak ada maksud di hati ini untuk melawan tapi hanya sekadar bermuhasabah. Bukan juga menyalahkan orang-orang di sebelah sana kerana masih ramai juga rakan taulan yang asalnya dari tempat itu. Tidak berniat dihati untuk mengkritik sesiapa kerana setiap kebenaran itu sememangnya fakta yang tidak boleh diubah. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama berharap agar sentimen ini tidak lagi wujud kerana Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak ini umpama abang sulung, adik tengah dan adik bongsu yang masing-masing punya peranan untuk bergantung harap satu sama lain.
Benarkah?
Tidak perlu risau, saya berani nyatakan bahawa saya adalah penyokong kerajaan. Apa yang saya coretkan di atas itu adalah luahan hati seorang rakyat Borneo (itu baru seorang, belum lagi jutaan yang lain). Hujah saya itu bukanlah isu pembangkang, jadi kepada pihak-pihak tertentu, jagalah orang-orang seperti saya (sebenarnya bukan saya saja, ramai lagi yang lain) agar tidak terjadi penghijrahan ke arah demokrasi sendiri. (istilah ini hanya orang belajar politik ja yang tau) hehehe..
Jika kita masih boleh menerima dan berkorban untuk perkataan MALAYsia itu sebagai sebuah negara walaupun nisbah kita hampir sama, kenapa mereka sangat keberatan untuk mengubah 'Harimau MALAYA' itu untuk dikongsi dengan orang bukan MALAYA.
Jadi, fikir-fikirkanlah.. :) Selamat menjamu ambuyat!
No comments:
Post a Comment